
Assalamualaikum warahmatullah,
Solat merupakan perintah yang sampaikan oleh Allah secara terus kepada Nabi Muhammad SAW berbanding dengan perintah yang lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain.
Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah SWT yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia. Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah SWT dan menjauhi larangannya. Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.
Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat
DARIPADA Anas, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sempurnakanlah sujud mu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur)."
Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah daripada hati. Ulama mengatakan bahawa sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT.
Sebenarnya ketika seseorang manusia itu mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis akan datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas, was-was, terlupa bilangan rakaat, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata sentiasa menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyian lain. Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat itu supaya ia tidak dapat sujud lama kerana penat atau sebagainya.
Ketika sujud kita digalakkan bertafakur beberapa ketika. Dari segi kesihatan, bersujud boleh mengelak penyakit pening atau migrain. Ini terbukti oleh saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud. Ahli sains menemui bahawa ada beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan.
Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut. Kita dilarang meniru cara unta duduk iaitu cara duduk dengan lutut dulu. Hendaklah jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Meletakkan hidung dan dahi di atas bumi. Begitu juga dengan lutut. serta perut jari kaki. Menegakkan kaki dengan tumit berdiri tegak selari. Semua anggota disebutkan tadi dipanggil sebagai anggota sujud yang menentukan sempurna atau tidaknya sujud seseorang sedang solat iaitu seperti mana diperintahkan Rasulullah SAW.

Hikmah sujud
Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya. Bernafas ketika sujud pula boleh:
- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.
- melegakan sakit hernia (burut)
- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.
- melegakan paru-paru daripada ketegangan.
- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.
- meringankan bahagian pelvis.
- memberi dorongan supaya mudah tidur.
- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.
- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.
- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.
- mengurangkan kegemukan.
- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).
- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.
Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekali gus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya. Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentaliti seseorang. Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.
Marilah kita sama-sama mengerjakan solat dengan khusyuk dan tawadduq kerana solat ialah tiang agama bagai orang Muslim.
Capaian entry berkaitan :
- Kekenduran Rahim (Prolapse)
- Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang
- Kesilapan masyhur dalam sembahyang
- Rahmat untuk suami isteri yang bangun malam
- Indahnya solat subuh
- Solat 'pendinding' daripada kemungkaran
- Sejarah Solat 5 Waktu dan makna rakaatnya
- Kalau dahi tidak mencecah sejadah
Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)
Selepas melakukan iktidal serta selesai membaca bacaan-bacaannya, kemudian kita melakukan sujud. Ia merupakan salah satu hukun solat yang terpenting. Ia disepakati sebagai rukun dengan nas dan ijmak. Sebelum turun untuk sujud, kita dikehendaki mengucapkan tadbir intiqal ‘Allaahu akbar’ sambil terus sujud, tanpa perlu mengangkat kedua-dua belah tangan, menurut jumhur mazhab.
Beberapa perkara penting tentang sujud
Adakah lutut atau tangan yang perlu mencecah tanah terlebih dahulu semasa turun untuk sujud?
Terdapat perbezaan ijtihad ulama yang agak besar dalam mneliti kekuatan hadis dalam bab ini. Antara dua pandangan yang ketara perbezaannya ialah :
1. Turun tangan dahulu
Kumpulan ulama ini bersandarkan kepada hadis berikut :
“Nabi SAW meletakkan kedua-dua tangannya ke bumi sebelum dua lututnya.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah, al-Dar Qutni dan al-Hakim, mengatakan sahih dan disokong oleh al-Zahabi)
"Apabila seseorang kamu sujud, maka janganlah kamu turun sebagaimana turunnya unta, hendaklah kamu meletakkan kedua-dua tanganmu sebelum lututmu.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasa’i dan Ahmad dengan sanad sahih)
Ulama yang menyokong meletakkan tangan dahulu ialah Imam malik, Imam al-Awza’ei dan salah satu pandangan Imam Ahmad dan ramai ahli hadis termasuk Nasiruddin al-Albani, telah sabit daripada perbuatan Ibn Umar r.a. dan beliau mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW telah melakukannya. Imam al-Bukhari juga berpandangan demikian, dalam sahih Bukhari 1/276 dalam bab ‘Yahwi bi Takbir Hina Yasjud’.
Syeikh Ahmad Syakir seorang ahli hadis kontemporari mentarjihkan hadis Abu Hurairah (letakkan tangan dahulu) kerana hadis qawli diutamakan daripada hadis fe’li.
2. Letak lutut dahulu
Ibn Qayyim menyebut bahawa Rasulullah SAW meletakkan kedua-dua lututnya dahulu sebelum tangannya, kemudian dahinya dan hidungnya. Ini ialah yang sahih, yang diriwayatkan oleh Syuraik bin Abdullah al-Nakha’ie, daripada ‘Asim bin Kulaib, daripada ayahnya, daripada Wail bin Hujr : “Aku telah melihat Rasulullah SAW apabila sujud, meletakkan kedua-dua lututnya sebelum tangannya, dan apabila bangkit mengangkat kedua-dua belah tangannya sebelum lutut.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasa’i, 2/207. Sahih oleh ibn Hibban)
Hadis Syuraik agak kurang kuat. Bagaimanapun, Syeikh Syu’aib Arnout berkata, majority ahliilmu memakai hadis ini dan beramal dengannya. Imam Syafi’I dan mahzab Syafi’I mengutamakan lutut dahulu, demikian adalah pendapat majority ulama. Ibn Munzir berkata ia juga pandangan Umar al-Khattab, juga Sufyan al-Thawry, Ahmad, Ishak Rahawaih dan mazhab Hanafi.
Ibn Qayyim menguatkan hujahnya dengan menjelaskan bahawa unta apabila ingin turun, ia akan meletakkan tanganya dahulu, dan kakinya kekal berdiri, dan apabila ia bangkit, ia akan bangkit dengan kakinya dahulu. Inilah yang dilarang oleh Rasulullah SAW dan kita diperintah untuk menyalahi unta tadi dan sesiapa yang mengamati bagaimana unta turun atau duduk, ia akan tahu sesungguhnya hadis Wail adalah yang tepat.
Kesimpulan
Imam al-Nawawi berkata, “Tidak nyata pada pandanganku pendapat yang lebih kuat.” Majoroti mazhab berfatwa untuk mendahulukan lutut adalah sunah, kemudian dahi dan hidung. Apabila ingin bangkit, tangan dahulu dan kemudian lutut.
Menurut UZAR, kedua-dua cara ini boleh diikuti terutamannya jika mempunyai lebih keyakinan dengan salah satu hujahnya. Pendapat UZAR lebih cenderung kepada pandangan menurunkan lutut terlebih dahulu.
Sumber : Formula Solat Sempurna UZAR, ms 67~70